Thursday, September 24, 2026

PEK BERAS WANGI KEDAH KINI BERWAJAH BAHARU

 PEK BERAS WANGI KEDAH KINI BERWAJAH BAHARU

JUMAAT | 4 SEPTEMBER 2026
SERDANGSetiausaha Kerajaan Negeri Kedah merangkap Pengerusi Lembaga Kemajuan Penanam-Penanam Padi Negeri Kedah (LKPPK), Dato’ Seri Norizan Khazali, hari ini menyempurnakan Gimik Pelancaran Pek Baharu Beras Wangi Kedah yang berlangsung di Pavilion Kedah, MAEPS sempena MAHA 2026.

Pelancaran ini menjadi simbolik kepada usaha berterusan LKPPK dalam memperkukuh identiti produk tempatan serta mengangkat hasil pertanian negeri Kedah agar terus mendapat tempat di peringkat yang lebih luas.

Seiring dengan perkembangan produk, aspek persembahan dan pembungkusan turut diberikan perhatian bagi memastikan Beras Wangi Kedah tampil dengan imej yang lebih kemas, menarik dan eksklusif, selari dengan kedudukannya sebagai salah satu produk negeri Kedah.

Pengenalan pek baharu ini menampilkan reka bentuk yang lebih moden dan eksklusif, sekali gus menjadikan Beras Wangi Kedah lebih sesuai diketengahkan sebagai cenderamata dan buah tangan dari negeri Kedah, Negeri Jelapang Padi.

Dalam kesempatan sama, Dato’ Seri Norizan turut melawat reruai-reruai di Pavilion Kedah yang menampilkan pelbagai produk makanan serta barangan keluaran usahawan negeri Kedah yang dibawa khas untuk diperkenalkan kepada pengunjung MAHA 2026.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi LKPPK Tuan Haji Baharom Kasim, Setiausaha LKPPK Encik Shahruzzaman Jibin, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Pengangkutan Negeri, Dzowahir Ab Ghani; Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan Negeri, Dato’ Mohd Salleh Saidin; Pegawai Kewangan Negeri Kedah, Dato’ Dr. Nadzman Mustaffa; Penasihat Undang-undang Negeri Kedah, Saifulrijal Azhari; Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Dato’ Mohd Fauzi Mustaffa; Pengarah Pertanian Negeri Kedah, Rozaidi Abdul Rahman; Pengarah Veterinar Negeri Kedah, Dr. Shaharul Akmar Talib.